Posted by: Gurindam Jiwa | Thursday, July 29, 2004

Cinta Tidak Berbalas Punca Norzi Ayu Dibunuh

Cinta Tidak Berbalas Punca Norzi Ayu Dibunuh
Utusan Malaysia, Khamis, July 29, 2004
Dalam Negeri, muka 03

Oleh: ISMAIL DAUD

KLANG 28 Julai – Suspek dalam kes pembunuhan Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Norzi Ayu Md. Noor, dipercayai bertindak membunuh mangsa kerana cintanya tidak berbalas.

Adik mangsa, Noorziana Md. Noor berkata, tidak wujud cinta tiga segi dalam kes ini, cuma cinta suspek tidak berbalas dan cemburu.

Kata beliau, kakaknya menganggap suspek sebagai kawan sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Katanya, bapa mereka, Md. Noor Dahari juga mengetahui masalah Norzi Ayu dengan suspek.

“Ayah sering menasihatkan kakak supaya berhati-hati, malah ayah sering menziarahi kakaknya di Bandar Baru Bangi bagi memastikan keselamatannya,” katanya.

Tambahnya, suspek itu juga dipercayai terlalu marah dan kecewa melihatkan kakaknya membawa bakal tunangnya selama tiga hari berturut-turut ke satu pertandingan silat yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak Jumaat lalu.

“Kakak menjadi juri dalam pertandingan itu dan dia tidak menyangka tindakannya membawa teman lelakinya itu mengundang rasa marah suspek kerana suspek pada masa itu sudah tidak ada sebarang hubungan lagi dengan kakak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Maznah di sini hari ini.

Semalam, Norzi Ayu, 27, mati setelah ditikam pada perut dipercayai oleh bekas teman lelakinya selepas diikat dengan tali pinggang baju silat di sebuah pangsapuri di Bandar Baru Bangi dekat sini.

Sebelum ditikam dalam kejadian pukul 3 petang kelmarin, Norzi Ayu yang berasal dari Klang dikatakan bertengkar dengan suspek berkenaan di Pangsapuri Seri Tanjung, Taman Seri Tanjung, Bandar Baru Bangi.

Akibat kejadian itu, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Kajang tetapi meninggal dunia kira-kira pukul 8.15 malam kelmarin.

Berikutan itu, suspek yang berusia 23 tahun dan merupakan bekas penuntut UKM dalam jurusan ekonomi di tahan di Hospital Kajang pada malam kelmarin apabila dia dibawa oleh abangnya untuk melawat mangsa.

Noorziana yang sering berkongsi masalah dengan kakaknya itu berkata, pada hujung bulan lepas, kakaknya telah diminta oleh suspek membuat keputusan sama ada memilihnya atau orang lain.

“Kakak berkata dia memilih orang lain (bakal tunangnya).

“Kakak saya juga ada bertanya perkara itu kepada saya dan saya kata, kakak harus mengikut kata hati.

“Kakak akhirnya memilih untuk memutuskan hubungan dengan suspek kerana berpendapat tiada keserasian antara mereka,” katanya.

Noorziana juga terkilan kerana kakaknya itu tidak pulang ke rumah pada hujung minggu lalu seperti biasa kerana demam.

“Kakak kata badannya terasa lemah serta letih selepas mengendalikan pertandingan silat berkenaan,” katanya.

Malah, katanya, Norzi Ayu turut merancang mengambil cuti kecemasan pada hari kejadian untuk berehat dan kembali ke rumah keluarganya di sini pada sebelah petang.

“Jika kakak sihat, dia bukan sahaja akan pulang ke sini (rumah keluarganya) dan terlepas dari kejadian itu tetapi juga mungkin dapat melawan suspek kerana Norzi Ayu sudah mencapai tahap jurulatih dalam Seni Silat Gayung yang disertainya itu,” jelasnya.

Mengenai suspek, Noorziana berkata, seluruh ahli keluarganya mengenali lelaki itu kerana dia telah beberapa kali datang ke rumah mereka.

Malah katanya, keluarga suspek dari Kelantan juga pernah datang berhari raya di rumah mereka.

“Arwah kakak memang agak rapat dengan suspek kerana sama-sama menyertai silat gayung,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Puziah Hassan, 52, masih sebak dengan kehilangan anak sulungnya itu kerana mangsa merupakan anak yang ceria, baik hati, suka menolong orang, sangat rapat dengan ahli keluarganya serta menjadi contoh kepada adik-adiknya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya itu ialah pada 18 Julai lalu semasa Norzi Ayu bersiap untuk ke Melaka bagi membentangkan kertas kerjanya untuk melengkapkan keperluan ijazah sarjananya.

“Dia anak tidak bercakap banyak, rapat dengan adik-adiknya dan sentiasa berterus terang apabila menghadapi masalah.

“Kami semua sayangnya dan kami reda dengan pemergiannya,” katanya dengan nada perlahan menahan sebak.


Responses

  1. perh sedih nyer…
    betul ker fakta tentang cerita cinta tiga segini macam ni;;

    Dalam kes ini, dengarnya begitulah.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: