Posted by: Gurindam Jiwa | Sunday, September 23, 2007

Pork Enzimes in Our Chicken?

Following the recently circulated story on adulterated chicken here and here, a local tabloid tried to unearth the insides of our own chicken farming methods to an inconclusive ending.

Ayam Diberi Enzim Babi: Mudah Busuk

Metro Font Page Sunday 23 Sep 07Oleh ZAINUDDIN ZAIN, FUAD HADINATA YAACOB dan ASMIZAN MOHD SAMIRAN
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Mungkinkah ayam daging yang diternak di negara ini diberi enzim babi untuk mempercepatkan tumbesarannya?

Isu itu kini hangat diperkatakan di kalangan masyarakat Islam negara ini berikutan penyebaran satu e-mel yang membangkitkan persoalan sejauh mana ayam di Malaysia boleh dijamin bebas daripada enzim tidak halal, terutama babi.

E-mel itu mendapat perhatian dan memberi pengaruh besar kepada orang ramai kerana dakwaan dibuat turut disokong fakta daripada kajian saintifik yang dilakukan di luar negara.

Mengikut e-mel itu, penggunaan makanan tambahan berbentuk ‘hidrolisis protein’ yang diperbuat daripada enzim babi dan bahan buangan haiwan seperti kulit lembu yang tidak diketahui status sama ada halal atau tidak daripada cara sembelihannya, dikesan di Eropah.

Enzim sama kini dipercayai digunakan secara meluas di beberapa negara di Asia, sekali gus menimbulkan persoalan besar sama ada ia turut digunakan di Malaysia berikutan ayam daging di negara ini kini pelik ciri fizikalnya.

Metro Ahad menerima banyak panggilan daripada orang ramai yang meminta pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci mengenai dakwaan di dalam e-mel itu bagi memastikan umat Islam di negara ini tidak disogokkan makanan haram tanpa disedari.

Antara dakwaan di dalam e-mel itu dan faktanya disokong pemanggil ialah, ayam di pasar kini mudah busuk jika dibiarkan terdedah beberapa minit, menyebabkan peniaga sering menyembur air untuk memastikan ia kelihatan segar dan menghilangkan bau hanyir.

Mengulas dakwaan e-mel berkenaan, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengaku kewujudan enzim itu, tetapi tidak tahu sejauh mana meluas penggunaannya di Malaysia kerana ‘kecanggihan’ enzim itu memerlukan ujian makmal yang sukar serta mahal untuk dikesan penggunaannya.

Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim, berkata enzim babi memang digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran ayam di luar negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, Belanda, Brazil dan China, namun pihaknya tidak ada laporan tepat mengenai penggunaannya di negara ini kerana tidak pernah menjalankan kajian berhubung isu itu.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak terus dakwaan di dalam e-mel itu. Kita berharap agensi kerajaan berkaitan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti sama ada benar atau tidak maklumat di dalam e-mel itu.

“Ini kerana ayam adalah makanan utama bagi penduduk negara ini, termasuk orang Islam. Ia satu isu besar yang memerlukan pengesahan berdasarkan ujian makmal, bukan hanya berdasarkan pengakuan penternak,” katanya kepada Metro Ahad.

Hatijah juga mengesahkan, ayam di negara ini diberi hormon dan antibiotik untuk menyihat dan menggemukkannya.

Katanya, di Eropah, Amerika Syarikat, Belanda, Brazil dan China, ayam disuntik dengan gelatin bertujuan menambah kandungan air, sekali gus berat badan ayam juga meningkat. Enzim babi pula digunakan untuk mempercepatkan tumbesaran ayam.

“Namun kami tidak tahu sama ada gelatin berkenaan, enzim babi atau bahan buangan lain yang diragui status halalnya turut digunakan oleh penternak di negara ini,” katanya.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) turut memandang serius dakwaan di laman web itu kerana membabitkan isu yang sensitif bukan saja kepada umat Islam tetapi juga kesihatan semua pengguna.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata sebelum ini negara dikejutkan dengan laporan mengenai ikan patin diberi makan usus babi bagi memastikan ia segar dan bersaiz besar.

“Justeru, apabila tersebarnya mengenai enzim babi digunakan untuk mempercepat proses tumbesaran dan mengemukkan ayam, ia bukan sesuatu yang tidak masuk akal atau boleh diketepikan begitu saja.

“Fomca meminta kerajaan menjalankan siasatan menyeluruh bukan saja ke atas ayam yang dijual di pasar, tetapi juga ladang ternakan,” katanya.

Mohd Yusof berkata, Fomca tidak bersetuju dengan pemberian pelbagai antibiotik, hormon atau vaksin kerana ia boleh memberi kesan sampingan, apatah lagi jika benar dakwaan pemberian enzim babi ke atas ternakan.

Katanya, dalam situasi sekarang, perkara itu tidak mustahil jika penternak mengetepikan tanggungjawab mereka, sebaliknya lebih mementingkan keuntungan berikutan kenaikan mendadak kos ternakan.

Bagi pengguna pula, beliau meminta supaya lebih peka dengan fizikal ayam yang dijual.

“Jika lihat ayam berbeza daripada biasa atau saiznya keterlaluan, tanya peniaga mengenai puncanya dan andainya masih was-was, jangan beli,” katanya.

Sementara itu, doktor perubatan yang kini mengusahakan ladang ayam organik, Dr Mohamad Zainol Ahmad Haja, yang dikaitkan di dalam e-mel berkenaan berkata, beliau mengetahui mengenai enzim itu menerusi jurnal penyiasatan Felicity Lawwrence di laman web The Ecologist yang turut disiarkan BBC di United Kingdom.

Katanya, Ekologi ialah kajian mengenai hubungan antara organisma hidup dengan persekitarannya.

“Siasatan Felicity Lawrence membuktikan makanan tambahan berbentuk ‘hidrolisis protein’ yang menggunakan enzim babi dan bahan buangan haiwan digunakan secara meluas di Eropah, terutama Jerman dan Belanda.

“Makanan tambahan daripada babi dan bahan buangan ini murah. Ia berkemampuan memendekkan tempoh matang ayam hanya kepada 28 hingga 30 hari berbanding tempoh sebenar 35 hingga 40 hari,” katanya.

Bagaimanapun, kata Dr Mohamad Zainol, penggunaan ‘hidrolisis protein’ sukar dibuktikan kerana memerlukan teknik pecahan sel yang rumit untuk menentukan kandungan enzim khinzir dan bahan buangan haiwan berbanding sel ayam sebenar.

“Bagaimanapun, ujian makmal di Eropah sebagaimana didedahkan Felicity Lawrence menunjukkan seekor ayam yang dibekalkan enzim ini didapati hanya mempunyai 40 peratus daging dan sel ayam sebenar, manakala baki 60 peratus lagi sel babi,” dakwanya.

Beliau mengaku tidak tahu sama ada penternak mencampur enzim sama di dalam makanan ayam mereka untuk mempercepatkan tumbesarannya.

“Yang pasti, ada penternak beretika dan mungkin ada yang tidak. Namun, melihat rupa ayam yang pelik hari ini, saya berasa siasatan perlu dijalankan untuk mengelak perasaan was-was membelenggu masyarakat Islam di negara ini.

“Memandangkan harga makanan ayam kini mahal, kemungkinan ada penternak menggunakan enzim berkenaan memang tinggi. Bayangkan jika seekor ayam dapat dijual hanya pada usia 28 hari berbanding 40 hari sepatutnya, makanan ayam dapat dikurangkan selama 12 hari. Ini penjimatan yang besar,” katanya.

‘Bencana’ kesihatan kesan jangka panjang

KUALA LUMPUR: Tindakan ingin mengaut keuntungan ekspres dengan memberi ternakan, termasuk ayam, makanan tambahan berbentuk hormon dan antibiotik akan mengakibatkan ‘bencana’ terhadap kesihatan manusia pada jangka masa panjang.

Pakar ternakan ayam, Prof Dr Zulkifli Idrus, yang berpengalaman 13 tahun dalam kajian ayam, mengesahkan wujudnya pemberian hormon dan antibiotik, tetapi hanya berlaku di luar negara.

“Tindakan itu boleh memberi kesan sampingan. Sebagai contoh, apabila lelaki memakan hormon yang diketahui digunakan untuk wanita, ia mewujudkan sifat kewanitaan pada lelaki itu.

“Antibiotik pula, jika disuntik pada ayam, mewujudkan bakteria yang membentuk ketahanan dan boleh dipindahkan kepada manusia melalui makanan. Jika manusia itu sakit dan diberi antibiotik, ia tidak akan berkesan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau percaya pemberian enzim babi atau suntikan lain ke atas ayam tidak digunakan di negara ini berikutan kosnya mahal kerana harus diimport dari negara luar, terutama Amerika Syarikat (AS).

“Sepanjang pengetahuan saya, tiada suntikan hormon, antibiotik atau enzim babi ini ke atas ayam kerana kosnya tinggi. Yang disuntik hanya vaksin iaitu untuk mengawal jangkitan penyakit,” katanya yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Beliau berkata, ayam di negara ini diberi makan jagung dan kacang soya kerana ia sumber tenaga dan protein paling baik.

“Hari ini, jagung digunakan untuk menghasilkan bahan bakar dipanggil Ethanol dan permintaan Ethanol sangat tinggi, sekali gus meningkatkan harga jagung di pasaran dunia.

“Jadi jika ada penternak menggunakan pelbagai suntikan, kosnya pasti lagi tinggi kerana 70 peratus kos pengeluaran saja adalah pada makanan,” katanya yang turut menjalankan kajian memberi isi rong kelapa sawit sebagai makanan ayam.

Bagaimanapun, ketika ditanya kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya menyuntik ayam mereka untuk mengaut keuntungan segera, Dr Zulkifli tidak menafikan mungkin ada berbuat demikian.

Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) turut menafikan ayam daging yang ada di pasaran tempatan diberi makanan tambahan dengan enzim babi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaludin, berkata penyebaran khabar angin itu tidak benar, justeru beliau meminta orang ramai tidak mudah percaya berita berkenaan.

Katanya, ayam daging yang ada di pasaran selamat dimakan, manakala pihaknya sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan kualitinya terjamin serta mengikut peraturan ditetapkan.

“Kami sentiasa membuat pemeriksaan dan mengambil contoh daging ayam ini, sama ada di pasar atau ladang, bagi memastikan ia memenuhi syarat ditetapkan.

“Di ladang pula, apabila berlaku kematian melebihi tiga peratus daripada jumlah keseluruhan, pemeriksaan lanjut dijalankan untuk mengenal pasti puncanya dan kerana itu, penternak tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan sesuka hati, termasuk pengambilan ubat atau suntikan tambahan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui, ternakan ayam hari ini disuntik dengan pelbagai vaksin dan antibiotik bagi memastikan haiwan itu tidak mendapat penyakit, tetapi kuantitinya mengikut syarat ditetapkan.

Katanya, dalam hal itu Kementerian Kesihatan mempunyai kuasa untuk memastikan penternak mengikut langkah betul dan jika ada yang menyalahgunakannya, mereka berdepan tindakan undang-undang.

“Kementerian mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas penternak yang menyalahi peraturan, malah kami sering bekerjasama membuat pemeriksaan haiwan ini di mana saja.

“Malah, untuk pemberian ubat ini, ia perlu diluluskan jawatankuasa khas yang turut memantau pelaksanaannya supaya ia tidak menyalahgunakan kebenaran diberi,” katanya.

Mengulas dakwaan jika benar ada enzim babi dalam ayam tempatan, beliau berkata, ia tidak boleh dipercayai dan jika ada, peraturan atau syarat ketat dikenakan kepada penternak ayam di negara ini sudah cukup untuk mengetahui tindakan mereka.

Sementara itu, Konsultan Eksekutif Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Dr Abdul Rahman Md Saleh, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan menyifatkan penyebaran e-mel berkenaan sebagai fitnah.

“Kita jaga kepentingan masyarakat, lebih-lebih lagi negara kita negara Islam. Kita sentiasa melakukan pemantauan (penternakan ayam) dan tiada penternak berbuat begitu (menggunakan enzim babi untuk mempercepatkan tumbesaran ayam),” katanya.

Dr Abdul Rahman berkata, setiap hari pengeluaran ayam di negara ini mencecah 1.2 hingga 1.3 juta ekor dan hanya dijual pada usia 38 hingga 40 hari.

“Dengan jumlah pengeluaran sebesar itu, mana mungkin penternak ada masa untuk menggunakan enzim yang dimaksudkan (enzim babi). Kini semua penternak menggunakan teknologi moden dan mendapat perhatian terus daripada JPH.

“E-mel itu mendakwa ayam boleh dijual ketika berusia 28 hingga 30 hari, tetapi berdasarkan pemantauan kita tiada ayam dijual pada usia itu,” katanya.

Dr Abdul Rahman berkata, dakwaan yang disebarkan itu tiada asas dan menyifatkannya sebagai serkap jarang saja.

Source: Harian Metro
Link: http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20070923100447/Article

Related posts: Pork Enzimes in Our Chicken, Organic Chicken Farming, Organic Chicken in Bandar Baru Bangi, and Special Reports Supermarkets: Chicken.


Responses

  1. […] posts: Pork Enzimes in Our Chicken, Organic Chicken Farming, and Special Reports Supermarkets: […]

  2. […] posts: Pork Enzimes in Our Chicken, Organic Chicken in Bandar Baru Bangi, and Special Reports Supermarkets: […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: